Saturday, 24 March 2012

CARA MENGAWET MAYAT MENJADI MUMIA


Mumia ialah mayat yang telah diawetkan supaya tidak reput, dengan menggunakan bahan tradisional atau bahan kimia. Pada zaman dahulu terdapat beberapa bangasa di dunia yang mengamalkan adat mengawet mayat seperti kaum Incas dari Peru dan orang asli Australia. Tetapi bangsa yang paling terkenal dengan adat ini ialah orang-orang Mesir purba.

Orang-orang Mesir dahulu percaya bahawa roh seseorang itu wujud selagi tubuhnya ada. Jadi jika tubuh seseorang yang mati itu diawet, rohnya akan tetap wujud. Lalu orang-orang Mesir ini menjadikan gurun pasir yang panas sebagai tempat pengkebumian supaya mayat itu sentiasa kering. Tanpa air, proses pereputan akan menjadi lebih lambat.

Pada tahun 3000 S.M orang-orang Mesir mula mengawetkan mayat kerana mereka tidak lagi menanam mayat si mati. Sebaliknya mayat diletakkan di dalam sebuah bangunan khas. Tetapi udara lembap dalam bangunan tersebut mempercepatkan proses pereputan mayat menyebabkan mereka mengambil keputusan mengawetkan mayat dengan menggunakan rempah, herba dan damar wangi.

Cara pengawetan ini boleh dilakukan dengan beberapa cara. Cara yang terbaik tetapi memerlukan belanja yang tinggi ialah dengan membelah mayat dan mengeluarkan segala organ dalam tubuhnya lalu digantikan dengan bahan pengawet yang telah disediakan. Otak mayat juga turut dikeluarkan. Tubuh mayat ini kemudian dibungkus dengan kain pembalut luka (bandage).Kesemua organ dalaman yang dikeluarkan (kecuali jantung) akan turut diawet dan kemudian diletakkan dalam bekas yang berlainan lalu ditanam bersama mayat tadi. Cara ini mengambil masa 70 hari untuk disempurnakan.

Cara yang kedua yang tidak memerlukan belanja yang banyak ialah dengan merendamkan mayat dalam cecair kimia natron selama empat atau lima minggu. Cara yang lebih murah lagi ialah dengan merendamkan mayat dalam air garam atau kapur tohor. Selepas kedua-dua proses rendaman ini, mayat akan dibalut dengan kain pembalut luka.

Mumia ini kemudiannya akan diletakkan dalam keranda kayu yang dibentuk seperti mumia dan mempunyai ukiran wajah si mati. Kadang kala keranda ini diletakkan pula dalam keranda batu atau sarcophagus.

Pada tahun 1000 S.M orang-orang Mesir mula merasakan keperitan untuk membayar harga keranda kayu kerana, pokok-pokok kayu yang besar tidak banyak terdapat di Mesir. Lalu mereka telah menggunakan bahan yang lebih murah yang kini dikenali sebagai cartonnage, diperbuat daripada kanvas kesat yang dikeraskan dengan lepa atau plaster. Sebelum plaster itu keras, bentuk muka mumia itu akan diukir pada plaster tersebut dan kemudian diwarnakan sebelum disimpan di tempat khas. Mumia Mesir yang terkenal sehingga ke hari ini ialah Tutankhamun.




Mumia Tutankhamun

Mumia permaisuri Mesir, Hatshepsut 

 
Mumia Firaun Rameses 

Mumia Rameses II 

 
Mumia di hutan hujan Amazon 

 
Mumia gadis beku di Peru 

 
Mumia di England 


Sumber : Ensiklopedia


No comments:

Post a Comment